Jangan lupa

Firman Allah Ta'ala : "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi(yakni Nabi Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sebenar-benar salam ke atasnya."(al-Ahzab:56)



Pages

Sahabat blogger2 :)

Nak belajar di Jordan ?

Bagi yang berhasrat ingin menyambung pengajian di jordan, bolehlah cuba contact saya di fb nur hanani fadzilah.

Ahlan wa sahlan

juga boleh klik :


Thursday, February 25, 2010

RasuluLLah..kami sangat merinduimu

Assalamualaikum warahmatuLLah.

Bulan Rabi’ul Awal, pastinya diketahui oleh semua bahawasanya bulan tersebut merupakan bulan kelahiran Rasul tercinta, Rasul dan nabi terakhir buat seluruh umat. Sempena dengan itu, di setiap pelosok tanah air akan mengadakan majlis maulidurrasul. Pastinya jika tidak diadakan majlis seumpama itu, manusia akan semakin melupakan RasuluLLah, lebih-lebih lagi para remaja, dan lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Tak lain tak bukan, setiap generasi semakin jauh dari zaman baginda. Oleh sebab itu, minda, fikiran dan pengetahuan semakin lari dari hakikat sebenar Islam. Bukankah ketika RasuluLLah menjalani isra’ mikraj, baginda terlihat seorang tua yang teramat bongkok dan malaikat Jibril mengkhabarkan bahawa ia merupakan bumi. Menggambarkan betapa uzurnya bumi yang kita pijak sekarang, teramat tua dan seiringan dengan itu, bumi semakin parah dengan kemusnahan yang dilakukan oleh manusia.

Berbicara tentang RasuluLLah, jauh di sudut hati ini terasa sebak yang teramat. Betapa kita ini tidak pernah menatap wajah baginda, apatah lagi mendengar suara baginda, apatah lagi berbicara dengan baginda, hanya yang kita mampu ialah mengungkap kan salam dan selawat ke atas baginda dengan harapan itulah yang menjadi wasilah ucapan tanda kerinduan yang mendalam dari kita terhadap RasuluLLah.

Beberapa minggu lepas, kami di asrama menjalankan proses muhasabah, yang dimulakan dengan zikir munajat, sebenarnya inilah yang sudah lama dipinta oleh adik-adik penghuni asrama, untuk melakukan zikir munajat, selawat tibb dan lain-lain. AlhamduliLLah terdetik di hati betapa mereka sangat ingin kan suatu pengisian yang mampu melenturkan hati mereka dari kekerasan. Seterusnya diteruskan dengan selawat yang dialunkan beramai-ramai. Melihatkan sudah ada dalam kalangan kami yang seolah menghayati (pada pandangan mata zahir), lantas pihak kakak-kakak memulakan bicara dengan suatu bicara yang lembut, ‘’baik, sekarang, akak harap adik-adik semua tutup mata (sambil terus-menerus mengalunkan selawat), bayangkan dalam fikiran adik-adik sesuatu yang sangat adik rindui.’’

Di saat itu, ada dalam kalangan kami yang memainkan peranan untuk mengulas tentang ibu ayah kerana setelah dikaji selidik, tahulah kami bahawa ada yang setiap hari merindukan ayah dan ibu mereka, apatah lagi yang sudah kehilangan ibu ayah. Dengan suara yang lantang berupa bicara yang penuh dengan sastera, pastinya tak dapat tidak, hati-hati mereka yang lembut sangat mudah digugurkan. Hakikatnya, semuanya atas irodahNya. Lalu berderailah air mata beberapa orang dalam kalangan penghuni asrama ketika itu. Namun, bak kata orang, menangis ini merupakan fi’il yang mudah berjangkit. Betul lah tu, dilihat semakin ramai yang menangis tersedu-sedu. Seterusnya diteruskan kata-kata mengenai ‘kawan’...

Seterusnya diangkat tajuk mengenai RasuluLLah. Di kala inilah saya dan sahabat-sahabat seusia tidak mampu lagi menahan tangisan. Jika tadi hanyalah tangisan yang dibuat-buat untuk men’jadi’ kan agenda kami, namun tiba agenda tentang RasuluLLah, kami sendiri tidak mampu lagi untuk berpura-pura menangis.

Mengingatkan betapa sukarnya untuk hidup sebagai orang yang benar-benar beriman di zaman yang akhir ini, apatah lagi ingin terus bertahan dari anasir2 yang boleh meruntuhkan dan menghancurkan cara hidup Islam yang sebenar. Apakah mampu bertahan? Jikalau RasuluLLah melihat keadaan umat zaman ini, nescaya pastinya air mata baginda tumpah. Ya, sememangnya RasuluLLah telah dikhabarkan oleh Rabbul Jalal tentang peristiwa yang bakal berlaku di akhir zaman. Justeru itu lah, RasuluLLah tak putus-putus menyebut tentang umat baginda hatta di saat akhir hidupnya. Alangkah rindunya dikala itu. Ya RasulaLLah, nahnu musytaqun ilaik.

Apakah bermakna semua ini jika tidak dibuktikan?

Tidak, pastinya tiada makna. Justeru, tak dapat tidak,perlunya dikaji tentang hidup baginda, serta setiap yang berkaitan dengan baginda, kitab syamail muhammadiah mungkin boleh diguna pakai. Ulamak dahulu bersusah payah mengkaji dan hasilnya, kita kini tak perlu bersusah payah bukan?. Amalan sunnah yang mampu diamalkan, pastinya mampu kita amalkan sedikit demi sedikit. Indahnya hidup berlandaskan cara hidup RasuluLLah, bagaimana cara baginda dengan sahabat baginda, bagaimana baginda dengan kanak-kanak, bagaimana baginda dengan keluarga. AllahuAkbar, tidak lah layak bagi kita ingin mencemburui hubungan RasuluLLah dengan kholiq. Kita tidak mungkin mampu menjadi sempurna, namun kita perlu menjadi sesempurna mungkin. Jom tengok link ini.

RasululuLLah,
Dalam mengenangmu,
Kami susuri perjalanan sirahmu,
Pahit getir perjuangan mu,
Membawa cahaya kebenaran.
Engkau taburkan pengorbananmu,
Untuk umatmu yang tercinta,
Biar terpaksa tempuh derita,
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya.
Tak tergambar tinggi pekertimu,
Tidak terbayang indahnya akhlaqmu,
Tidak terbalas segala jasamu,
Sesungguhnya engkau rasul mulia,
Tabahnya hatimu menempuh dugaan,
Mengajar erti kesabaran,
Menjulang panji kebenaran,
Terukir namamu di dalam al-quran.

Teringat lirik sebuah lagu:

Adakah kau lupa,
Kita pernah berjaya,
Menaungi dua pertiga dunia,
Merentas benua,
Melayar samudera.

AllahuAkbar, perjuangan RasuluLLah tidak mungkin tamat, setiap masa akan ada mereka yang menjadi rantai perjuangan baginda. Semoga kita tidak terkecuali untuk hal ini, biarpun tidak mampu berjihad di medan perang, namun sekurangnya boleh membentuk ramai lagi mujahidin untuk kembali meletakkan nama Islam di tempat asalnya.

Wallahua’lam.

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...