Jangan lupa

Firman Allah Ta'ala : "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi(yakni Nabi Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sebenar-benar salam ke atasnya."(al-Ahzab:56)



Pages

Sahabat blogger2 :)

Nak belajar di Jordan ?

Bagi yang berhasrat ingin menyambung pengajian di jordan, bolehlah cuba contact saya di fb nur hanani fadzilah.

Ahlan wa sahlan

juga boleh klik :


Monday, December 20, 2010


Persoalan yang sering jadi isu di Maahad dahulu khususnya dalam kalangan pelajar2 kelas tahfiz. Berpeganglah dengan yang mana pun wahai sekalian yang belajar, syaratnya apabila ditanya akan hujjah, anda mampu menjawabnya.. Tidak perlu bertegang lidah mengatakan ini atau itu lebih baik..kehkeh. jom baca.

Para fuqaha’ telah berselisih pendapat dalam masalah membaca al-quran semasa haid dan berjunub[1]( hadas besar kerana persetubuhan atau keluar mani kerana mimpi) kepada 3 pendapat:

Pertama

Tidak diharuskan membaca al-quran semasa haid dan junub(hadas besar).

Pendapat ini disokong oleh para ulamak dikalangan mazhab Imam Hanafi[2] dan Imam Syafie[3].Ini Juga merupakan pendapat Imam Malik[4] sendiri dan riwayat yang sangat masyhur pada Imam Ahmad dan beberapa ulamak dikalangan mazhab Hanbali.[5]

Hujjahnya:

Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.anhuma dalam satu hadis Rasulullah S.A.W bersabda:
لا تقرأ الحائض ولا الجنب شيئا من القرآن

(Jaganlah membaca sesuatu pun dari al-quran semasa haid dan berjunub).[6]

Ulamak berselisih pendapat mengenai hadis di atas kerana terdapat seorang rawi iaitu Ismail bin A’yas yang ditolak riwayatnya.[7]

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan hadis ini dhoif berdasarkan pendapat para ahli hadis.[8]

Kedua

Diharuskan kepada mereka untuk membaca al-quran secara mutlak.

Pendapat ini disokong oleh Az-Zhohiri di dalam kitabnya yang berpendapat membaca al-quran,sujud,menyentuh mushaf dan zikir kepada Allah Ta’ala dibolehkan dalam keadaan berwuduk,tanpa wuduk,semasa haid dan juga bagi yang berjunub.[9]

Pendapat ini berdasarkan dalil dari sunnah dan juga athar para sahabat.

Dalil dari sunnah:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ

(Adalah Nabi S.A.W berzikir kepada Allah pada setiap keadaannya)[10]

Keterangan hadis:

Ummul Mukminin Aisyah r.anha mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W sentiasa berzikir kepada Allah Ta’ala pada setiap waktu dan keadaanya termasuk juga ketika waktu junubnya.Maka bacaan al-quran juga termasuk di dalam zikir yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.[11]

Kata Imam Nawawi yang dimaksudkan berzikir di dalam hadis ini bukanlah membaca al-quran seperti yang difahami.[12]

Dalil dari athar sahabah:

Telah diriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas telah membaca al-quran dalam keadaan masih berjunub(hadas besar).[13]

Membaca al-quran merupakan amalan ibadah yang sangat dituntut dan dianjurkan,pembacanya akan mendapat ganjaran dan sesiapa yang melarang membaca al-quran pada waktu tertentu maka hendaklah membawa dalil yang melarangnya.[14]

Ketiga

Diharuskan membaca al-quran semasa haid dan tidak diharuskan kepada yang berjunub(hadas besar).

Ini merupakan pendapat yang masyhur Imam Malik dan para pengikutnya[15].Begitu juga pendapat lama (qaul Qadim) Imam Syafie[16] dan juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan para pengikutnya.[17]

Mereka berhujjah mengatakan haid merupakan satu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala kepada kaum wanita.Ia datang tanpa suruhan dan berterusan untuk beberapa waktu yang biasa dialami oleh wanita.Jika hal ini merupakan satu larangan,nescaya kaum wanita akan lupa apa yang telah dipelajari dari isi kandungan al-quran.Berbeza dengan orang yang berjunub (hadas besar),ia datang mengikut kehendak tuannya secara kebiasaanya (persetubuhan) dan dapat diatasi dengan mandi wajib sahaja.[18]

Maka diharuskan membaca al-quran semasa haid sahaja dan bukan kepada yang berjunub kerana tiada dalil yang mencegahnya.

Kesimpulannya

Pendapat ketiga yang mengharuskan membaca al-quran semasa haid dan tidak diharuskan membacanya ketika berjunub merupakan pendapat yang paling tepat kerana tiada dalil yang menghalangnya kecuali satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.anhuma.Hadis ini dhoif dan tidak boleh dijadikan hujjah.Manakala bagi yang berjunub,terdapat pelbagai hadis yang melaranggnya walaupun padanya terdapat perselisihan ulamak hadis tetapi masih ada lagi hadis lain yang menyokong hadis tersebut sehinggalah boleh dijadikan hujjah untuk beramal dengannya.[19]

Kata Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:

Telah diketahui bahawa semasa zaman Rasulullah S.A.W kaum wanita telah didatangi haid tetapi mereka tidak ditegah membaca al-quran sepertimana tidak juga ditegah untuk berzikir dan berdoa kepada Allah Ta’ala,bahkan mereka juga diperintahkan untuk keluar pada hari eid (hari raya) dan sama-sama bertakbir pada hari tersebut bersama kaum muslimin yang lain.Mereka juga diperintahkan untuk melakukan semua amalan haji kecuali tawaf,mereka juga bertalbiah,begitu juga bermalam di Muzdalifah,Mina dan sebagainya.
Manakala orang yang berjunub (hadas besar) mereka pula tidak diperintahkan untuk keluar pada hari eid (hari raya),solat pada hari tersebut dan juga tidak diperintahkan untuk menyempurnakan amalan haji…..
Maka berdasarkan hal ini,dapat diketahui bahawa kaum wanita yang didatangi haid dilonggarkan kepada mereka untuk melakukan semua amalan tersebut berbeza dengan orang yang berjunub kerana keuzuran (haid) yang telah ditetapkan oleh syariat islam walaupun tempohnya panjang.Begitu juga membaca al-quran bagi mereka tidak menjadi satu halangan di dalam syariat islam.[20]


[1]Berjunub:Hadas besar kerana persetubuhan atau keluar mani kerana mimpi.
[2] Fataw Al-Hindiyah:39/1,Mukhtasor At-Thohawi:18
[3] Al-Majmuk:158/2
[4] Al-Muntaqa Syarhu Muwatta’ Imam Malik:120/1
[5] Al-Mughni:316/1
[6] Sunan Tirmizi(131),
[7] Mizanul I’tidal:242/1,Tahzib At-Tahzib:325/1
[8] Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:460/21
[9] Al-Muhalla li ibni Hazm Az-Zhohiri
[10] Sohih Bukhari:Kitab Haid 79/1
[11] Subulus Salam Syarhu Bulughul Muram min adillati al-ahkam:71/1
[12] Al-Majmuk li Nawawi:159/2
[13] Al-Muhalla li Ibn Hazm:79/1
[14] Al-Muhalla li Ibn Hazm:77,78/1
[15] Al-Muntaqa Syarhu Muwatta’ Imam Malik:120/1
[16] Al-Majmuk li Nawawi:356/2
[17] Al-Insoof:343,347/1,Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:459,460/21
[18] Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:460,461/21
[19]Prof.Dr.Abdul Aziz bin Muhammad Al-Hujailan:Al-Ahkamu Al-Fiqhiyyah Al-Khashotu bil Al-Quran Al-Karim.
[20] Majmuk Fatawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: 460,461/21

from www.anasarriyadhi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...