Assalamualaikum warahmatuLLah.
Dari Anas Bin Malik r.a, RasuluLLah s.a.w telah bersabda : ‘’Sesungguhnya Allah Ta’ala akan redha terhadap hambaNya yang mengucapkan tahmid @ puji-pujian bagi Allah sesudah makan dan minum.’’-(HR MUSLIM)
Alhamdu-Pujian
liLLah- bagi Allah
Justeru, alhamduliLLah, segala pujian bagi Allah. DIA lah yang memberi kepada kita nikmat ini yang sememangnya tak dapat lari lagi, makan untuk memperolehi tenaga, makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan, dan nikmat-nikmat lain yang tak terkira.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ‘’Dan apabila engkau mengirakan @ menghitung nikmat Allah, nescaya engkau tidak akan mampu menghitungnya…’’-surah Ibrahim.
Sememangnya Allah layak dipuji, sejak mula diletakkan roh ketika dalam rahim ibu, hinggalah saat menutup mata diambil kembali roh tersebut. Malahan lebih dari itu..
Apapun, yang perlu diingati di sini ialah mulakan dengan basmalah. Dan makan secara berpada-pada kerana Allah berfirman yang bermaksud : ‘’..dan makanlah dan minumlah serta janganlah berlebihan kerana Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.’’-surah al-baqarah.
Dan RasuluLLah ada bersabda : ‘’Bagi anak Adam tidak ada wadah yang lebih buruk untuk dipenuhi daripada perut. Cukup bagi anak Adam beberapa suapan makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Maka apabila dia harus makan banyak , hendaklah menjadikan sepertiga isi perutnya untuk makanan, sepertiga yang lain untuk minum, dan sisa sapertiganya lagi untuk nafasnya.’’-(HR Tirmizi yang mengatakan hadis ini hasan, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Terlebih makan menyebabkan ingatan kurang tajam, menghadirkan sifat malas dan mendatangkan penyakit, kerana banyaknya penyakit biasanyalah berasal dari perut. Jika sejak kanak-kanak lagi mengamalkan makan yang berlebihan tanpa kawalan, apatah lagi makanan itu entah halal atau tidak, suci atau sebaliknya. Bagaimana kira keadaannya bila dia meningkat dewasa nanti? Justeru, didik sejak kecil lagi untuk mengawal makanan.
ALLAHUAKBAR. Semoga Allah menguatkan saya dan anda semua untuk sentiasa berhamdalah dalam segenap perkara serta lebih berpada-pada dengan apa yang terhidang depan mata.
Wallahua’lam.
Wassalamualaikum warahmatuLLah.
No comments:
Post a Comment