Jangan lupa

Firman Allah Ta'ala : "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi(yakni Nabi Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sebenar-benar salam ke atasnya."(al-Ahzab:56)



Pages

Sahabat blogger2 :)

Nak belajar di Jordan ?

Bagi yang berhasrat ingin menyambung pengajian di jordan, bolehlah cuba contact saya di fb nur hanani fadzilah.

Ahlan wa sahlan

juga boleh klik :


Thursday, January 7, 2010

Hargailah mereka


Assalamualaikum warahmatuLLah.

Mungkin bagi yang masih mempunyai bonda, tidak merasakan nilaian kasih mereka. Namun,bila kehilangan mereka, barulah terserlah di mata anak-anak satu demi satu perkara dan jasa bonda dalam hidup. Menangis sesedih manapun, jasad dan roh itu tidak lagi kembali, jasad yang dulu pernah membelai kita, namun di akhir hidup mereka, dimakan tanah jua. Allahu Robbi, tidak dapat saya bayangkan bagaimana hidup saya apabila kehilangan ibu suatu masa nanti.

Perjalanan ke Maahad Muhammadi Lilbanat hari ini membawa hati saya meruntun hiba melihatkan seorang ibu yang kelihatannya sudah separuh usia, menunggang basikal sambil membonceng anaknya yang di jemput dari sekolah yang tidak kurang jauhnya. Jalan raya yang kesesakan membuatkan bas bergerak perlahan, seiring di sebelah bas itulah mereka dua beranak dengan berhati-hati menggerakkan basikal. Si anak memegang pinggang si ibu manakala si ibu kelihatannya sedikit gemuruh dengan kesesakan yang menyukarkan pergerakan basikal, apatah lagi bila bertembung dengan motor yang sama-sama ingin mara ke destinasi, ditambah pula dengan jalan becak ditepi disebabkan hujan pada sebelah pagi. Kesian melihatkan keadaan tersebut.

Ketika si ibu ingin membelokkan basikal ke lorong di sebelah kanan, yang pada pendapat saya, mungkin rumah mereka dalam kawasan tersebut, mereka anak-beranak hampir terjatuh disebabkan tanah yang masih basah. Saya hampir terjerit sendirian melihat keadaan tersebut. Namun, situasi berjaya dikawal oleh si ibu. Syukur. Mereka akhirnya berjaya juga masuk ke lorong tersebut, kemudiannya, saya tidak lagi melihat kelibat mereka. Sejurus selepas itu, saya melihat kotak hadiah yang saya belikan untuk bonda tercinta, hadiah ini langsung tidak mampu membalas jasa baik bonda. Tapi sekurang-kurangnya, biarlah bonda berasa girang dengan hadiah ini.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ''Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) terhadap ibu bapa. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu, dan kepada-Ku jua kamu kembali.''-Surah Lukman ayat 14.

Dalam ayat tersebut. Allah menyebut secara khusus akan perbuatan ibu yang jelas memaparkan kasih sayang mereka terhadap kita. Maha Suci Allah yang menjadikan bagi wanita itu sifat penyayang yang tinggi. Penat dengan morning-sickness, alahan yang pelbagai hingga ada yang lembik seluruh badan, serta dengan kewajipan terhadap Allah yang sentiasa ditunaikan walaupun sedikit penat ke sana ke mari sambil membawa kita yang relaks dalam rahim ibu. Bermula berita hadirnya kita, tentunya ibu membuat pelbagai cita dan impian, serta mengimpikan pelbagai kebaikan dari kita, di samping memikirkan pelbagai nama yang indah, menyiapkan diri untuk membeli pelbagai peralatan dan pakaian semata ingin menyambut kehadiran kita dalam hidupnya. Apakah kita mengerti hal ini?

Justeru, amat kejamlah seorang anak yang memusnahkan impian ibu bapa, yang sengaja menghampirkan diri mereka menjadi orang yang tidak berguna, yang sengaja memaparkan kepada ibubapa perasaan muak dan benci. Jika kita tidak menyukai teguran mereka sekalipun, usahlah menonjolkan perasaan tidak suka, sebaliknya berlakonlah seolah kita menerima teguran tersebut. Adakah kita rugi jika berbuat sedemikian? Tentunya tidak.

Buat kali ke berapa entah, saya memuhasabahkan diri untuk lebih menghargai ibu. Selagi roh masih dalam jasad, selagi itulah diri ini terasa berhutang dengan insan yang bergelar ibu. Buat ibuku, kini sekali lagi usiamu menginjak, namun ia bukan penghalang untukku lebih menyayangimu. Walau suatu masa, syurgaku bukan lagi di bawah telapak kakimu, namun ia bukan penyebab untukku melupakan jasamu. Kami adik beradik dengan senekadnya ingin membuktikan buat ayah dan ibu,bahawa tidak rugi didikan yang kalian berikan selama ini, tidak rugi curahan kasih sayang kalian buat kami, tidak rugi segala perbelanjaan keringat dan wang yang kalian relakan terhadap kami. Segalanya akan dimanfaatkan, untuk kehidupan kalian di dunia dan di sana nanti.


Kepada ibuku, semoga Allah memberkahi dan memanjangkan usiamu.

''Allahumma irhamhuma kama robbayani soghiro''

WaLLahua'lam.

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...