Assalamualaikum warahmatullah,
Syukur dirafa'kan kepada Allah atas kurnianya memberi kesihatan, serta kasih sayangnya menyembuhkan ibu tercinta yang baru selamat menjalani pembedahan.
Tidak ingin memanjangkan kalam, baru-baru ini, saya berkesempatan untuk mengikuti rombongan pelajar dari Maahad Syamsul Maarif Lilbanat dalam XPDC dai'e muda bertempat di Kampung Perlug, Gua Musang, Kelantan.. Kampung orang asli yang paling hujung..paling seronok dan menakutkan
Coretan ini tak lebih sekadar laporan kehidupan..
Tiba di Gua Musang, rombongan XPDC disambut oleh hujan renyai-renyai, terdetik sedikit kebimbangan di hati akan perjalanan masuk ke hutan, hujan pastinya menyebabkan tanah menjadi licin serta pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti tanah runtuh. Ibarat digoncang dalam botol, begitulah situasi dan keadaan para peserta di dalam kereta lasak IOA. Ada yang terhantuk, pening, sakit dan sebagainya.. Namun, sedar tak sedar, di situlah Allah melihat apakah kita ingin meneruskan misi ini atau berpatah balik. Hujan itu hanyalah ujian pertama..
Tinggi..cerun..mashaAllah..hanya Allah yang tahu betapa gementarnya hati tatkala kereta bakal melalui cerun demi cerun.. Dalam perjalanan, sebuah kereta yang berada paling hadapan hampir-hampir tergelincir ke dalam gaung.. mujurlah Allah masih lagi ingin menyelamatkan mereka..
Selepas 3 jam dalam suasana debaran yang tak terhingga, alhamdulillah, rombongan tiba di destinasi hampir pukul 7 malam, disambut oleh penduduk asli di sana, kepenatan dalam perjalanan terasa lenyap begitu sahaja. Apatah lagi apabila para amek(ibu) di sana sudah menanti anak-anak angkat mereka untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Malam itu, memandangkan saya masih belum memiliki keluarga angkat, saya mengikuti ustazah Zainab ke rumah seorang amek untuk makan malam, kami dihidangkan ubi kayu goreng serta gulai labu..dan air kopi panas.. Makanan yang sedikit pelik tapi menyelerakan.. Dengan berlampukan cahaya api sebesar ibu jari, kesejukan malam dek hujan masih lagi turun benar-benar menambahkan selera.
Keesokannya, saya serta para peserta yang tidak mengikuti misi pertama ditemukan dengan keluarga angkat, wal hasil, keluarga angkat saya merupakan keluarga angkat kepada kawan baik sendiri, Syuhadiah serta seorabg pelajar kolej YIK, aminuddin.. Alhamdulillah, mereka cukup mesra.. Apak (Yaakub bin Busu), amek (Jaridah bt Pangkin), adik (Jihan, lina, rina, rumin, busu, lia, amin dan seorang lagi yang saya kurang jelas namanya)..semuanya masih kecil..
Hari itu merupakan hari beramah mesra, sememangnya sebelum ingin memulakan dakwah, hatinya perlu diikat terlebih dahulu.. Mereka juga bersemangat mengajarkan saya bahasa orang asli memandangkan di penutup nanti, akan ada kuiz untuk para anak angkat dalam bahasa orang asli. Jam 11 lebih, saya mengikuti amek dan adik-adik naik ke kebun (syukur hujan sudah berhenti) bersama amek2 lain. Sememangnya pengalaman melalui sungai yang berarus deras serta mendaki bukit yang cerun cukup-cukup menakutkan, amek dan adik yang sudah berpengalaman sedikit-sebanyak membantu saya mengharungi semua liku tersebut. Di puncak sana, saya bersama adik berlumba mengutip 'leh ber' yakni kulat.. Kulat yang boleh dimakan.. Geli sebenarnya, namun semua itu perlu ditepis.
Dalam perjalanan pulang ke rumah amek, kami berhenti seketika di kawasan batu-batu untuk bermain air. Seronok juga jadi kanak-kanak ni, amek pula tak kisah, malah dia yang mengajak saya bermain air. Sampai di kawasan penduduk dengan baju yang basah kuyup, tapi situasi begini biasa saja kerana majoriti yang pergi kebun, akan bermain air ketika pulang. Di rumah amek, saya belajar masakan orang asli, apak pula bersungguh mahu melihat anak angkatnya ini memasak. hehe..
Petang itu, kami sekeluarga makan bersama. Dikelilingi adik-adik seramai lapan orang..fuhh..macam-macam kerenah yang dapat dilihat. ''Chen cak?''..''chen''(mahu makan?..mahu)..apabila bertanya pada adik ''cak tabe''(tambah lagi)..jawabnya ''ijek''..tanda tidak mahu. Petang itu sekali lagi amek mengajak saya ke kebun ubi kayu, sepatutnya ada pembelajaran kelas fardhu ain.. Setelah meminta pendapat ayah, ayah benarkan untuk pergi turut serta ke kebun ubi kayu agar amek tidak berkecil hati.
Pulang dari sana, seluruh kaki saya sakit, bak kata mereka,gahel(letih) serta sakit katong(sakit lutut). Pukul 6 petang, ada sukaneka untuk kanak-kanak serta para amek, saya dan amek tidak turut serta kerana seluruh badan lenguh. Hampir senja, ketika itulah saya sempat mengambil masa mengajar amek dan adik serba sedikit akan asas solat. Walaupun mereka masih belum dapat melakukan solat dengan sempurna, namun tatkala tiba solat jemaah, mereka sentiasa turut serta. Malam itu, pengajian semula wudhuk serta al-fatihah telah diulang semula untuk semua amek dan adik-adik. Malam itu juga majlis penutup diadakan secara terbuka di dewan kayu. Cukup padat sekali dewan tersebut yang tak ubah seperti pondok.
Acara kuiz dikendalikan oleh ketua eksekutif IOA, Ustaz Khalid bin Ahmad serta pengetua MSMP, Ustaz Rosli. Boleh kata majoriti amek dan apak serta anak angkat mendapat hadiah, kerana kuiz tersebut diadakan untuk mengeratkan lagi ukhuwwah antara amek, apak dan anak angkat. Tiba masa amek yang perlu menjawab soalan kuiz, anak angkat akan bantu, manakala apabila tiba masa anak angkat, amek akan bantu. Malam itu saya diberi soalan mengira abjad 1,2,3 dalam bahasa asli. hehe.. mudah je.
Hari terakhir, diadakan salam jam'ie, sempena perpisahan antara amek dan anak angkat. Yang gembiranya, apabila anak angkat menghadiahkan tudung kepada mereka, segara mereka pakai tudung tersebut sebagai tanda penghargaan. Setiap anak angkat diberi hadiah oleh amek dan apak, kebanyakannya dari hasil bumi. Alhamdulillah..
Perjalanan pulang terasa begitu cepat, memandangkan sepanjang program, hujan tidak turun, kecuali ketika perjalanan datang kemari..syukur pada Allah yang memudahkan urusan ini, lampu, generator dan semua perkakas dapat berfungsi dengan baik, kereta IOA juga tidak timbulkan masalah, cuak(anjing) juga tidak liar seperti dahulu,jalan tidak licin serta perjalanan pulang dari Perlug ke jalan besar hanya sejam. Yang mengiringi kami tatkala itu ialah perasaan sedih.. Lambaian amek, apak dan adik-adik masih terbayang di mata. Semoga Allah memberi hidayah dan mengukuhkan aqidah mereka.. Rindu serindunya..
1 comment:
salam nani..mabruk wa taufiq,masyaallah..teruskan perjuangan dakwah..:)Semoga allah sentiasa membantumu dik..manisnya merasai saat2 itu..Aktiviti harian terisi,tiada perkara sia2....
Post a Comment