From : www.hjanhar.blogspot.com
BOLEH TAQLID KE?
Soalan: Assalamualaikum. Ustaz, ana ada satu persoalan. Dalam bab tauhid, ada perbincangan tentang orang yang bertaqlid dengan orang lain. Dalam ilmu fiqh, boleh tak kita bertaqlid dgn pendapat ulama’ atau guru-guru kita tentang hal-hal feqah? Syukran.
Mohd. Nawwar
Waalaikumussalam wa Rahmatullah.
1. Secara umumnya setiap muslim wajib mengetahui ilmu agama yang berkaitan fardhu ain. Tidak ada yang terkecuali mempelajarinya. Namun Allah SWT memerintahkan sebahagian manusia untuk lebih mendalami ilmu agama, meneliti dan menggali segala rahsia dan yang tersirat disebaliknya. Tidak semua orang akan sampai ke peringkat ini dan ia merupakan fadhilat Allah Azza wa Jalla yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 122:
Dan tidaklah orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap kumpulan di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
2. Oleh sebab itulah manusia itu terbahagi kepada beberapa peringkat, antaranya:
i. Mereka yang mempunyai kemampuan untuk berijtihad, boleh mengambil permasalahan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah daripada dalil-dalil syara’. Perbincangannya seperti dalam kitab-kitab Usul Fiqh, dan mereka ini adalah mujtahid mutlak.
ii. Mereka yang digelar mujtahid mazhab, iaitu yang tidak terkeluar daripada kaedah asas imamnya dan sentiasa terikat dengannya. Namun mereka sampai ke peringkat mampu berijtihad pada persoalan-persoalan yang tidak pernah dibincangkan oleh ulama’ mazhab yang sebelumnya. Seperti Imam al-Nawawi (676H) dalam fiqh al-Shafi’iyah dan imam Muhammad (189H) dalam fiqh al-Hanafiah.
iii. Dalam kalangan manusia ada yang mempunyai kemampuan untuk mempelajari permasalahan dan mengetahui dalilnya. Mereka dipanggil al-tabi’ (pengikut). Mereka mengetahui masalah dan dalil tetapi mengikut mazhab tertentu.
iv. Mereka yang selain daripada tiga kumpulan di atas, iaitu peringkat muqallid (yang bertaqlid).
3. Persoalan yang diajukan di atas bersangkutan dengan kumpulan keempat. Saya cuba untuk mempermudahkan agar dapat difahami dengan baik insyaAllah. Sebelum itu, perlulah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan perkataan taqlid dan hukumnya.
4. Taqlid bermakud iltizam (komitmen) mengambil mazhab (pegangan) lain tanpa mengetahui dalilnya yang khusus. Oleh itu, jika seseorang mengambil kata-kata orang lain dengan mengetahui dalilnya secara jelas dan yakin, maka tidak dikira sebagai muqallid. Taqlid dianggap wujud sejak pada zaman sahabat lagi kerana tidak semua para sahabat berijtihad pada setiap permasalahan, sebahagian besar mereka ada yang bertanya kepada orang lain. Dalam kalangan sahabat yang masyhur dengan kekuatan ilmu adalah seumpama Saidina Umar al-Khattab, Ali bin Abu Talib, Saidah ‘Aishah, Ibn Umar, Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas Radhia Allahu ‘Anhum Ajma’in. Selain daripada mereka pula, bertanya di antara satu sama lain, beramal dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 7 bermaksud:
Maka bertanyalah kamu kepada ahlu al-zikri (mereka yang tahu) jika kamu tidak mengetahui.
5. Walau bagaimanapun, selepas zaman imam empat mazhab (Imam Abu Hanifah 150H, Imam Malik bin Anas 179H, Imam Shafie 204H dan Imam Ahmad bin Hanbal 241H) dan anak-anak murid mereka, taqlid telah tersebar dengan meluas. Antara mazhab yang masih kekal secara lengkap dari aspek permasalahan dan tersusun dari aspek usul adalah empat iaitu al-Hanafiah, al-Malikiah, al-Shafi’iyah dan al-Hanabilah. Orang ramai telah mengambil ijtihad-ijtihad salah satu daripadanya. Sekiranya kita mengikut pandangan mereka, bukan kerana mereka ma’sum (terpelihara daripada dosa dan silap), tetapi kerana mereka cukup syarat dan keahlian untuk berijtihad.
6. Taqlid dalam aqidah
Jumhur ulama’ usuluddin menyatakan tidak boleh taqlid dalam perkara aqidah, seperti dalam persoalan Allah wujud, esa dan membenarkan kerasulan nabi SAW. Dalam hal ini kita tidak boleh taqlid dengan orang lain. Wajib bagi kita untuk meneliti, berfikir dan tadabbur sendiri terhadap dalil-dalil yang boleh membawa kepada ilmu dan keyakinan serta ketenangan hati. Allah Azza wa Jalla mencela amalan taqlid dalam perkara aqidah, antara lain firmanNya dalam surah al-Zukhruf ayat 22:
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja.
Selepas turun ayat 190 surah Ali ‘Imran, diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Telah turun ayat kepadaku malam tadi, celakalah bagi sesiapa yang membacanya tetapi tidak berfikir tentangnya. (Riwayat Ibn Hibban)
7. Taqlid dalam fiqh
Kebanyakan para ulama’ menyatakan bahawa bagi orang awam yang tidak sampai kepada peringkat ijtihad, wajib bertaqlid dengan para mujtahid dalam perkara furu’ (cabang) amalan syara’ seperti dengan mazhab yang empat. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 7 di atas. Imam al-Laqqani (1041H) berkata:
Maka wajib taqlid dengan yang lebih tahu daripada mereka. (al-Laqqani: Jauharah al-Tauhid)
Manakala sebahagian ulama’ lain menyatakan tidak wajib bertaqlid, sebaliknya hukum bertaqlid dalam perkara fiqh adalah harus. Ini kerana mujtahid yang diikut boleh jadi betul dan salah dalam ijtihadnya.
Sebahagian ulama’ pula menyatakan hukum bertaqlid dalam fiqh adalah haram. Ini adalah pendapat Ibn Qaiyyim (751H) dan al-Syaukani (1250H).
8. Selain itu, terdapat juga taqlid yang haram dalam fiqh, iaitu apabila mengambil kata-kata seseorang dan meletakkannya sebagai nas syara’ tanpa melihat kepada pandangan lain atau nas syara’ yang asal. Ini disepakati oleh para ulama’ sebagai haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Qaiyim dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in.
9. Tidak dapat dinafikan bahawa para ulama’ yang sampai ke peringkat boleh berijtihad tidak hanya empat imam mazhab sahaja, bahkan terdapat juga para ulama’ yang lain. Jumlahnya tidak sedikit, antaranya Imam al-Auza’ie (157H) yang disemadikan di Beirut, Sufiyan al-Thauri (161H), Ibn ‘Uyainah (198H) dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun menurut majoriti ulama’ bahawa mazhab yang masih kekal hingga hari ini dengan buku-buku dan sistem yang teratur hanyalah empat sahaja. Itupun terdapat sebahagian ulama’ seumpama Ibn Abd al-Barr (463H) yang hanya mengira tiga sahaja, kerana mengklasifikasikan Imam Ahmad sebagai ulama’ hadith bukannya daripada fuqaha’. Kitab beliau berjudul al-Intifa’ fi Fadhail al-Thalathah al-Fuqaha’. Namun jumhur tetap mengkategorikan Imam Ahmad dalam kalangan para fuqaha’. Al-‘Allamah Imam al-Sowi berkata:
Tidak boleh bertaqlid dengan selain mereka (Imam empat mazhab) selepas disepakati (ijma’), kerana mazhab lain tidak dibukukan dan tidak terjaga. Berbeza dengan mereka (Imam empat mazhab) menguasai ilmu tentang kata-kata semua atau sebahagian besar para sahabat. Kaedah mazhab mereka diketahui dan mazhab mereka dibukukan. Pengikut-pengikut selepas mereka berkhidmat menghuraikannya dan ia jadi mutawatir. Seterusnya menjadi ikutan (taqlid) dalam perkara-perkara furu’ (cabang), kerana mazhab tidak mati dengan kematian pengasasnya.
No comments:
Post a Comment