Jangan lupa

Firman Allah Ta'ala : "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi(yakni Nabi Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sebenar-benar salam ke atasnya."(al-Ahzab:56)



Pages

Sahabat blogger2 :)

Nak belajar di Jordan ?

Bagi yang berhasrat ingin menyambung pengajian di jordan, bolehlah cuba contact saya di fb nur hanani fadzilah.

Ahlan wa sahlan

juga boleh klik :


Sunday, December 27, 2009

Masih ada harapan

Ya Latiff...ya Latiff..

Tuk..tuk..tuk..Assalamualaikum,hati,benarkan aku masuk. Iman hadir mengetuk pintu rumah hati. ''Waalaikumussalam, kau kembali wahai iman, ke mana engkau pergi selama ini?'',balas hati sambil cuba membuka pintu rumahnya yang kian sukar dibuka dek terlalu lama dibiarkan.

Iman menjawab dengan nada yang sedikit sebak, ''maafkan aku wahai hati, aku terpedaya oleh nafsu, dia membawa aku lari dari mu, meninggalkan segala yang aku rindui selama ini, meninggalkan si qiamullail dan meninggalkan semua yang mendekatkan aku denganNya.''

Hati yang masih berusaha membuka pintunya nampaknya semakin penat. Dia masih tidak berdaya untuk membukanya. ''Sedarkah kau, di sebabkan dikau menghilang beberapa hari lalu, seluruh badan aku sakit, dan sedarkah kau, walaupun jasad kau tidak menghadapi kesan, tapi hakikatnya ia sedang menderita!!'' Kata hati dengan nada yang sedikit tinggi.

Lantas dia menyambung. ''Kau tunggu lah di luar sekejap, biar aku kejutkan si mata agar dia menangis dan menyuruh si lidah untuk menyebut namaNya, mudah-mudahan, pintu rumahku bisa dibuka, berusahalah, insaflah dan berdoalah kepada tuhan.''

Iman tertunduk menanti, kelihatan padanya luka-luka kecil yang kian membesar. ''Syukurlah padaNya kerana aku kembali sedar, nafsu itu banyak melukakanku, syukur padaMu kerana mendatangkan hidayah kepadaku menunjukkan kembali tempat asal yang boleh merawat lukaku serta boleh menenangkan aku dari keletihan ini.'' Bisik iman sendirian.

''Allah,Allah,Allah ya Allah...Tubna ilaLLah, wa roja'na ilaLLah, wa nadimna 'ala ma fa'alna...'' Si lidah berzikir sendirian. Sedikit demi sedikit zikir itu membuatkan si mata hiba. ''teruskan wahai si lidah, mutiara itu semakin hampir untuk keluar..teruskan'' kata si mata. Hati yang turut bersama juga duduk menghayati zikir si lidah.. hati membisikkan pada si mata. ''Allah..Allah..Allah, aku rindu Allah, aku rindu padanya, tuhanku, ampuni daku.'' Si mata yang mendengar bertambah lagi kehibaan dirinya. Namun, mutiara itu masih belum mampu keluar. ''Ini gara-gara akal dan iman yang kalah, kenapa dia bisa sekali mengikut si nafsu..''

Apabila lidah berzikir, hati mengahayati lalu menterjemahkan zikir tersebut, lantas seluruh jasad turut hadir dalam diam untuk bersama dalam majlis zikir, setitis demi setitis, air mutiara turun membasahi jasad. ''Hasbi robbi jallaLLah..'' kata lidah. ''Cukuplah bagiku tuhanku Allah'', hati menghayati dan menterjemah sambil cuba mengikutinya. ''Ma fi qolbi ghoiruLLah''.. ''Tiada dalam hatiku melainkan Allah''.. di kegelapan malam itu, tiada bunyi melainkan bunyi suara si lidah melafazkan zikir. dan hati yang semakin menghayati, serta mata yang mula menitiskan air mata.

Setelah segenap usaha yang dilakukan, lalu seolah datang cahaya memasuki hati lalu hati itu dengan mudahnya mengikuti lidah berzikir dengan sepenuhnya. Mengisi di dalamnya hanya cinta dan rindu serta takut akan murka Allah. Malam itu menyaksikan betapa lidah yang penat itu mengalunkan zikir, dan hati yang sedih itu mengikutinya, manakala mata yang kepenatan itu kini mengalirkan air dengan selajunya.. Oh tuhan..

Lalu, dengan izinNya, hati kembali ke pintu, memanggil iman yang dari tadi lagi menanti dan menanti. ''Imanku, bersediakah dikau untuk masuk kembali ke rumahku?'' hati bertanya.
jawab iman, ''Duhai hatiku, aku cukup letih menunggu dan tidak sabar untuk masuk kembali ke rumahmu untuk merawat luka di sekeliling badanku, aku cukup terseksa berada bersama nafsu. Izinkan aku masuk ya Allah..''

Lantas, dengan izinNya, pintu itu terbuka kembali, selajunya iman menerpa masuk, memeluk sahabat-sahabat nya yang tidak putus berusaha menerimanya kembali dan membantunya. Kegelapan dan kesunyian malam menambahkan kehibaan. Mereka menyedari bahawa mereka saling memerlukan, walau dipukul ombak, walau kehadiran dugaan yang bertali arus. Selagi roh itu masih lekat pada jasad, antara mereka tidak boleh dipisahkan. Kerana mereka akan dipersoalkan di akhirat nanti. Di mahsyar nanti, antara mereka saling membantu untuk meraih cinta Allah yang hakiki.

Oh tuhan, terasa indahnya hidup untuk meraih cintaMu. Walau pernah tersesat arah, namun, kembali semula untuk memulakan perjuangan. Pemusafiran ini belum tamat, justeru, ke mana pun aku menghadap, Engkaulah di hadapan ku.. Hanya dua destinasi akhir yang bakal ku temui, syurga mahupun neraka. Redha mahupun murka. Apakah perkara terakhir yang bakal menemuiku? Kufur kah atau kalimah syahadah itu.. Di saat ini dan setiap saat, setiap helaan nafas dan setiap kali aku ingin meletakkan jasad untuk tidur, aku bertanya, apakah esok masih ada? Oh tuhan, jika masih ada, jadikanlah esok lebih baik dari hari ini. Tapi jika esok sudah tiada, jadikanlah semua usaha meraih redhaMu ini sebagai bekalan untukku melalui barzakhMu. Ampunilah segala salah dan dosa ku.. Aku menanti masa itu. Oh tuhan ya Allah..

Cukup setakat ini dahulu kisah yang ringkas tapi moga-moga memberi makna besar bagi saya dan semua. insyaAllah.

WaLLahua'lam

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

Persenda ajaran agama

Assalamualaikum warahmatuLLah.

Lama rasanya tidak buat catatan baru, Dua hari saya tiada di rumah untuk menghadiri majlis menyambut kakak saya sebagai ahli baru dalam keluarga suaminya di Kedah. Kami sekeluarga dalam bilangan 53 orang menaiki bas yang disewa khusus untuk ke sana. Pastinya hal ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah antara kami sekeluarga besar.. Perkara ini bukanlah pertama kali kerana pada tahun 2007, kami sudah melakukan perkara sedemikian untuk majlis perkahwinan abang kedua dengan isterinya yang berasal dari negeri sembilan.

Tajuk catatan sangat berkait dengan dunia kita pada masa ini. Ayuh kita singkap firman Allah s.w.t. yang bermaksud : ''dan jauhkanlah diri daripada orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka jugalah yang diperdaya dengan kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah dia usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain daripada Allah. dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima. Mereka itulah orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya , disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidup di dunia) '' - surah al-an'am ayat ke 70.

Hebat sekali uslub kalamuLLah. Ada berunsur sindiran, motivasi dan peringatan. Jika dalam ayat di atas, ia berupa peringatan yang dahsyat dengan celaan terhadap sikap golongan yang tertipu dengan kehidupan dunia. Di sini kita dapat lihat, bahawa mereka itu pastinya sangat keras hati dan tidak sedar diri, maka dengan itu Allah yang Maha mengetahui memberi peringatan kepada mereka dengan peringatan-peringatan yang dahsyat agar terbuka sedikit hati mereka, biar ketakutan menyelinap dalam sanubari mereka, dengan itu terselamatlah mereka dari kebinasaan yang mereka sendiri usahakan. ALLAHUAKBAR.

Mempersendakan agama sama lah seperti menyelewengkan ajaran agama serta menjatuhkan maruah agama. Islam mereka masih belum menyelimuti sel-sel mereka serta masih belum menusuk kalbu mereka, malahan masih belum sebati dengan darah mereka. Jika mereka dari golongan yang baru sahaja mengenal Islam, mungkin serba sdikit ia boleh dimaafkan, namun jikalau mereka dari golongan yang sudah lama Islam, yang hidupnya berpuluh tahun atas nama Islam, wah, apa mungkin mereka ini kita maafkan. Hakikatnya, keampunan hakiki itu dari Allah s.w.t, moga-moga Allah mengampunkan mereka serta menunjukkan mereka kebenaran hakiki.

Antara contoh hari ini yang boleh kita kaitkan dengan gejala mempersendakan agama ialah seperti menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti Aidil Fitri dengan perkara yang melaghakan serta dengan perkara haram. Aidil Fitri diraikan dengan mengadakan konsert-konsert yang teruk yang di dalamnya pergaulan bebas tidak disekat, ada nyanyian yang melalaikan, serta tarian-tarian dan hiburan yang keterlaluan. Mungkin mereka seolah gembira, tapi hakikatnya mereka mempamerkan perbuatan yang menjatuhkan maruah agama. Cuba fikir sejenak, apakah hal ini ada di negara kita?

Selain itu, mereka juga golongan yang menganggap bahawa ajaran Islam tidak sesuai dengan peredaran zaman, memperli hukum Allah. Perkara ini tidak asing di negara kita bukan? Malah, seorang ustazah PHD dalam bidang syariah juga termasuk dalam perbuatan tersebut. Senang-senang dia mengatakan bahawa lebih baik jika hukum Allah iaitu potong tangan tersebut diganti dengan memberi kerja kepada si pesalah. Wah, kagum rasanya dengan idea si dia yang 'cerdik' itu. Jika dah nama pencuri, lalu diberi kerja, apakah tidak mungkin si pencuri tersebut mencuri pula di tempat kerjanya..?? hahaha. Jika mahu dengar ceramah semborono dia, bukalah disini.

Lagi contoh perbuatan mempersendakan agama yang zahir masa sekarang ialah:
  • menghina wanita yang menutup aurat
  • memutarbelitkan terjemahan ayat quran utk kepentingan sendiri.
  • makan pd siang hari di khalayak ramai pada bulan ramadhan.
  • menganjurkan program-program yang menggalakkan pergaulan bebas.
  • mengeluarkan hukum agama yang berdasarkan kepentingan peribadi.
  • menghina orang yang cuba menegakkan hukum Allah dan syiar Islam.
  • tidak mengamalkan ajaran Islam selengkapnya.

Kita pula, sebagai si pemerhati kecil, tidak mampu untuk bertindak dengan tindakan yang bisa menghapuskan terus. Sekadar membenci dan menegur semampunya sahaja yang bisa dilakukan. Buat mereka yang mampu dan berkuasa, mereka bertanggungjawab untuk menjalankan kegiatan pembasmian golongan tersebut. Jika tidak, nescaya bala Allah akan diturunkan yang mana ia tidak kenal siapa lagi. Baikkah seseorang itu, atau dia lah yang mempersendakan ajaran agama, semuanya akan terkena bala tersebut. Wal'iyazu biLLah.

Segala yang baik dari Allah, yang kurang itu kerana kecetekan ilmu si penulis.

Wallahu'alam

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

Wednesday, December 23, 2009

Ukhuwwah Fil- Islam

Di saat genting menghadapi perpisahan dengan teman-teman yang selama ini berada bersebelahan, mungkin amat amat sukar bagi sesetengah orang. Saya kerap kali menerima mesej berhubung dengan ukhuwwah, antaranya : ‘’Ukhuwwah kita ibarat rantai tasbih, yang mana dirimu takkan temui penghujung mahupun permulaannya, kerana ia telah diikat seeratnya, ingatilah aku dalam doamu-salam penuh kasih.’’

Lagi: ‘’Apabila kata perpisahan diungkap, hatiku hiba, mengapa sayang benar hati ini untuk meninggalkan mu wahai sahabat, mungkin terlalu banyak coretan manis kita lalui bersama, ketawa, gurau, senda, menangis..Alangkah rindunya diri ini untuk kembali bersama, tetapi jangan diimpikan lagi, kerana waktu itu sudah berlalu pergi..ya Allah, tidak terungkap lidah ini untuk mengatakan betapa manisnya persahabatan yang telah Engkau berikan kepada kami..(dan panjang lagi)….’’

Jika mahu menyalin semula apa yang terkandung dalam inbox handphone, pastinya melenguhkan jari. Yang saya dapat lihat, di saat sebegini, semua orang seolah mula berfikiran kreatif. Itu tandanya apa yang mereka hadapi sekarang teramat sukar. Hanya beberapa minggu lepas saya men’delete’ semua mesej yang terkandung dalam inbox, nampaknya ia kembali penuh..

Sedarkah apa itu ukhuwwah fil islam?

Istilah tersebut merujuk kepada jalinan yang menghubungkan sebahagian umat Islam dengan sebahagian yang lain. Yakni umat Islam jua. Ianya berhadafkan dan berdasarkan ketaatan kepada Allah yang mengikat hati-hati mereka.

Suka saya petik maksud hadith RasuluLLah S.A.W : ‘’Sekuat-kuat iman ialah cinta dan berkasih sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.’’ (HR Iman Ahmad)

Jika dalam sesebuah gerakan Islam,mahupun mana-mana persatuan Islam, pastinya memerlukan kekuatan ikatah ukhuwwah bagi menjamin ketelusan dan perpaduan dalam gerakan tersebut. Hal ini lah yang saya lihat sering dibina dan dipupuk dalam badan-badan utama di sekolah, jika di MSMP, Badan Latihan dan Kepimpinan Islam (BALKIS) serta Badan Disiplin Sekolah sangat menekankan nilai ukhuwwah. Dengan itu, mudah untuk adakan kerjasama dalam setiap aktiviti. Begitu juga di MMP, iaitu Badan Dakwah dan Tarbiah Islam (BADATI) sebagai penerajunya.

Di sini saya ingin petik hadith-hadith nabi berkaitan dengan tajuk :

  • RasuluLLah S.A.W bersabda :’’ Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara, (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau member inasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertashmit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahi dan yang ke(6), Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya.’’
    (HR Muslim)

  • RasuluLLah S.A.W bersabda : ‘’Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling menghasadi (sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari.’’
    (HR Iman Malik,Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’ie)
  • RasuluLLah S.A.W bersabda : ‘’Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan) –(HR Muslim)
    ·
  • Sabda RasuluLLah S.A.W yang bererti : ‘’Hendaklah kamu saling member hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhkan permusuhan.’’ –(HR Bukhari dan Muslim)

    Maha Suci Allah yang mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W yang perkataannya sama sekali tidak berdasarkan nafsu dan kepentingan sendiri, saya cukup tertarik akan hadith ini-
    Sabda RasuluLLah S.A.W : ‘’Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali dia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat tersebut akan berkata ; Aminn dan bagimu seperti itu juga.’’-(HR Muslim)

    Akhowat sekalian, hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim yang sebagaimana kita pelajari (walaupun sedikit) bahawa metodologi penulisan kitab oleh Iman tersebut sangat ketat dan penuh dengan disiplin. Al-Imam RahimahuLLah hanya memuatkan hadith yang bermartabat sohih sahaja dalam kitabnya. Sedangkah hadith sohih diterima sebagai hujah dan dalil syarak serta kita tidak boleh mengingkarinya. Percayalah akan kebenaran kata-kata Nabi yang kita rindui serta yakinlah akannya. Di masa hampir dengan result ini, tidak rugi bagi kita untuk sentiasa mendoakan kejayaan dan kebaikan buat rakan-rakan.

    Rujukan hadith-hadith yang saya salin tadi, saya ambil dari buku ‘’Apa ertinya saya menganut Islam (Maza ya’ni)’’ karangan Fathi Yakan. Iaitu ulamak kita yang disegani yang baru menghadap Ilahi baru-baru ini. Semoga Allah cucuri rahmatNya ke atas beliau di sana. Ini benar-banar satu kehilangan besar buat dunia Islamkita.

Ini hanyalah sedikit, sekadar cukup makan. Selebihnya sama-sama kita membaca kembali buku tersebut, yang merupakan rujukan dan panduan dalam usrah di MMP. Tidak rugi bukan?

Moga-moga kita ditunjukkan jalanNya yang cerah dan terang-benderang, hanya kegelapan jiwa kita menutup mata hati kita dari melihatnya..

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

Tuesday, December 22, 2009

Complicated (ii)

Assalamualaikum warahmatuLLah.

Bicara saya tak lebih sekadar motivasi untuk diri sendiri dan jika ia turut memotivasikan orang lain, itu kerana Allah yang memberi kurniaNya kepada si dia yang membaca.
Dengan memerhatikan sekeliling, dan melihat gelagat manusia di sekitar kita, banyak sekali ilham yang hadir lantas memberi kita kekuatan untuk menggerakkan tangan mencipta kata-kata mahupun puisi. Sama ada ia hadir dari fuad hati yang lemah, atau hadir dari nafsu semata-mata, biarlah Allah sahaja yang mengetehui dan men’judge’ sejauh manakah penghayatan kita terhadap kata-kata itu.


Biarpun manusia mengatakan bahawa ini tak lebih dari khayalan dan omongan, tinggalkan komen mereka tersebut, ia langsung tidak membina semangat. Siapa mereka untuk menilai hati dan penulisan kita? Bukankah mereka juga diciptakan oleh tuhan kita? Siapa pencipta mereka dan siapa pencipta kita? Sama bukan. Justru, ‘tentang mereka’ dan ‘tentang kita’, tiada siapa yang bisa men’judge’ melainkan Allah. DIA sahaja yang mengetahui kelemahan dan kelebihan seseorang. Biarkan hati mereka berperasaan begitu. Mereka juga lemah, pernah lemah dan sentiasa lemah.

Sedarkah kita bahawa dalam hidup ini, perasaan riak,ta’jub terhadap diri sendiri, takabbur dan lain-lain lagi tidak pernah bercerai dari hati kita? Biarpun kita kata, ‘tidak, saya tida rasa kagum’ atau ‘tidak, kenapa nak ujub terhadap diri’ atau lain-lain lagi seumpamanya. Hakikat yang perlu disedari, hati kita perlu dididik, sedangkan para sufi sendiri pada peringkat awal mereka tak pernah lekang dari sifat-sifat yang menakutkan tersebut. Namun, dengan usaha mereka dan dengan irodah Allah, tarbiah,didikan dan mujahadah yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil yang ditunggu selama ini, yakni tiada lagi rasa hebat biarpun dipuji, tiada lagi rasa kagum terhadap diri, tiada lagi rasa ingin merendahkan orang lain, tiada rasa takut beribadah depan orang, tidak malu mengekalkan amalan walaupun di khalayak, tiada rasa ingin menunjuk-nunjuk, tiada rasa sombong dan angkuh.

Segalanya diqosadkan kerana Allah, hati bertafakkur kerana Allah, beribadah kerana Allah, melakukan perkara sunat kerana Allah, tidak meninggalkan perkara sunat yang sering dilakukan walau ketika bersama orang lain kerana Allah, solatnya dilakukan dengan penuh kesayuan kerana Allah, hiba hatinya kerana Allah, berteman kerana Allah dan meninggalkan perkara lagho kerana Allah, mengurangkan makan kerana Allah, memperbanyak tangis kerana Allah. Bukan kerana cinta,bukan kerana hilang benda, oh.. itu tidak salah sama sekali, cumanya cubalah kita usaha kan agar ia menjadi ‘kerana Allah’. Bila kehilangan barang@ orang yang disayangi, hadirkan dalam hati, bahawa ini ujian Allah untuk kafarah diriku, dan dengan itu aku dapat lebih dekat denganNya dan inilah tarbiah Allah kepada ku untuk mendidikku, aku rela ya Allah, rela menerima ujian ini demi redhaMu tuhanku. Jika hanya dengan jalan ujian ini, aku boleh mendekatkan diriku denganMu, ketahuilah bahawa seluruh jasadku sedia menerimanya..dan kuatkanlah diriku untuk menghadapinya, lantas menangislah tanda kita redha dengan ujian ini. Hanya kerana rela menerima ujian ini sebagai jalan bertaqarrub dengan Allah.

Wallahua’lam.

Wassalamualaikum warahmatuLLah.

Perjalanan

Assalamualaikum warahmatuLLah

Pukul 6.30 pagi, handphone saya berdering menandakan ada panggilan masuk. ''Assalamualaikum hanani,saya turun dah''. Emm lantas saya membalas ''waalaikumussalam, Oh ye ke. Ok saya pergi sekarang''

Saya bergegas bersiap dan segera bersalam dengan ibu, saya mencium pipi beliau. Walaupun saya bersiap secepat mungkin, namun saya masih terlewat menyebabkan Syuhadiah terpaksa menalefon sekali lagi. Maaf2. Saya terpaksa menunggu enjin motor dipanaskan terlebih dahulu dibimbangi 'mampus' tengah jalan. Dia pastinya mengerti.

Pagi itu, perjalanan ke Kota Bharu sungguh mendamaikan. Sambil berbual dengan syuhadiah, kadangkala saya melihat pemandangan pagi, SubhanaLLah, sungguh menyejukkan mata. Jika dapat mengulang hafalan di tengah sawah pada waktu sebegitu, pasti sangat menenangkan. SubhanaLLah.

Saya tidak mahu memanjangkan kalam, saya segera skip pengalaman hari ini. Setelah dibelanja makan oleh ayah Syuhadiah, saya dan sahabat saya tersebut bersegera ke terminal bas tumpat.
Driver bas hari ini sungguh peramah, dengan itu saya tidak berasa gementar walaupun ini pertama kali menaiki bas ke Tumpat. Perjalanan ke sana membawa saya melalui sungai kelantan, kawasan kampung, sawah dan panorama yang menenagkan jiwa.

Tiba di Maahad Muhammadi Tumpat, saya berjalan-jalan sekeliling kawasan sekolah tersebut. Oh, ini ke MMT. Tak de kurangnya dengan MMP. Ada kolam, padang yang luas, musolla yang menarik dan pelbagai lagi. Apa yang menariknya, ketibaan kawan-kawan rapat kepada Syuhadiah menambahkan seri suasana tika itu. Hari itu, saya menambah beberapa orang rakan baru (mungkin ada yang dah kenal sebelum ni) antaranya aisyah,fatin,hakimah,kak jah,husna dan lain-lain.(Maaf jika ada yang tertinggal)

Mereka cukup ceria dan periang. Hehe. Saya mungkin kurang ceria, sukar sekali untuk ketawa bersama. Sekadar senyum memanjang, tapi jauh di sudut hati, saya sangat menyenangi mereka.
Saya lebih suka memerhati sekeliling di samping membaca apa-apa sahaja yang terpapar pada pandangan mata.

Hmm suka sekali bersama mereka, namun saya dan syuhadiah tidak boleh lama di situ, dalam pukul 1 lebih, kami menaiki bas kembali ke Kota Bharu, kemudian terus mempercepatkan langkah memasuki kawasan Maahad Muhammadi tercinta. madrasati.. Saya segera menuju ke pejabat bagi mengambil markah kokurikulum untuk diisi dalam borang UPU. Haha. Saya hanya memperoleh 8.0 dari 10.0.. apapun, syukur pada Allah. Memadailah dengan sejauh mana komitmen saya terhadap aktiviti kokurikulum.

Apa yang menghairankan, tiada seorang pun pelajar yang mendapat jumlah keseluruhan markah kokurikulum melebihi 8.0, err bukan untuk menaikkan saya. Cumanya, saya sedikit pelik memandangkan di Maahad Muhammadi Tumpat, saya lihat ramai sekali pelajarnya yang mendapat lebih dari 8.0. Malahan KP MMP juga hanya mendapat 8.0.. Hmm, tidak apalah. Mungkin itu sahaja yang selayaknya kami terima.

Kepenatan ini kami tamatkan dengan segera pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, saya terlena di atas bas, menunjukkan bahawa jasad saya sungguh penat dan teramat letih hari ini. Yang penting, saya memperoleh pengalaman baru pada hari ini. Jauh perjalanan, luas pengalaman. Kan??

Berjalan di atas muka bumi Allah, sambil memerhatikan kekuasaanNya. Hingga menimbulkan rasa kagum kita terhadap Allah akan kehebatanNya mencipta dan menjadikan sesuatu. Inilah yang dituntut dalam Islam. Bukan perjalanan jauh tanpa mendapat apa-apa faedah, yakni hanya mendapat 'penat dan letih'..

Wassalamualaikum warahmatuLLah

Sunday, December 20, 2009

Hari ini dan semalam

Assalamualaikum warahmatuLLah.

Bersyukur lah masih mampu bernafas di bumi Allah. Di sini kita lihat hikmah yang besar yang Allah berikan.
  • Bagi yang sakit, pasti dia melihat hari ini masih ada lagi jalan untuk berikhtiar. dan peluang untuk sembuh
  • Bagi yang menanti keputusan pepriksaan, dia pasti menyedari bahawa hari ini masih berpeluang untuk mengangkat tangan berdoa dikurniakan kejayaan.
  • Manakala bagi yang berdosa dan merasa berdosa, pasti dia sedar bahawa Allah masih memberi dia peluang untuk menjenguk ke pintu taubatNya yang terbuka. Jangan hanya jenguk, tapi kuatkan kaki, melangkah masuk ke pintu taubat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : ''Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan tuhanmu akan mengampunkan dosa kamu dan akan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai''-(surah at-Tahrim ayat 66)

Ketika membelek buku pendidikan syariah islam dan pendidikan quran sunnah, saya mengimbas kembali kenangan belajar dua matapelajaran tersebut, (semoga Allah merahmati ustazah Norizan dan ustaz Azmi Deraman) Bagaimana excitednya hati dapat belajar mustolah hadith,usul fiqh dan lain-lain. Terasa begitu dekat di hati memandangkan keduanya ada kaitan dengan bahasa arab(tentunya) dan bahasa arab itu tidak dapat dipisahkan dengan kalamuLLah. Belajar itu bukan untuk berbangga, tapi untuk mendekatkan diri padaNya.

Selain itu, madah al qawa'idu al-arabiyyah atau ilmu nahu sorof juga cukup menarik. Asal yang tak dapat dinafikan ialah Al-quran menambahkan cinta kita terhadap bahasa arab,errm atau bahasa arab menambahkan cinta kita terhadap alquran? hehe.. saya pun pening.

Sejurus tamat peperiksaan bagi kedua madah itu, saya merasakan satu kehilangan. Tamatnya sesuatu peperiksaan ibarat berakhirnya suatu ilmu itu walhal..., kerana di akhir setiap pelajaran, kita akan diuji dengan peperiksaan. Aduhai sedihnya hati. Apakah selepas ini saya akan meninggalkan kedua-dua ilmu tersebut? Adakah....adakah..macam-macam lagi.

Bagaimana dengan sahabat sekalian? Apakah perasaan kalian,gembirakah? sedihkah?

Semoga diri ini dan sahabat sekalian dipermudah jalan kepadaNya dan segala jalan yang membawa kita dekat padaNya. insyaAllah.

Wassalamualaikum warahmatullah.

Complicated

Allah..Allah..Allah.

Terasa suatu sinar kembali menerangi. Jalan yang gelap kembali bersuluh.

Allah..Allah..Allah..

Terasa ada kekuatan di sebalik lafaz yang diungkapkan. Ya. DIA lah Allah. Yang Merajai seluruh manusia. Berdoalah, Ya Allah, sebagaimana Engkau mengasihiku, jadikanlah aku mengasihiMu baik dalam tawa,duka,sempit mahupun lapang.

Bila mana hati terasa kosong, nak menangis tiada punca. Carilah faktor dan indikatornya dengan zikruLLah. Di situlah akan kelihatan, sedikit demi sedikit, punca kekosongan hati.

Lafazkan dengan setenangnya, biar terdengar di telinga dan biar terketuk pintu mata hati.
Jangan biarkan ia mati. Cepat-cepatlah bajai...

WaLLahua'lam.

Wassalamualaikum warahmatullah

Saturday, December 19, 2009

Jasamu dikenang

Assalamualaikum warahmatullah

Pagi ini saya menerima banyak mesej dari teman-teman. Tak semua saya balas segera. Kemudian saya menforward mesej berhubung dengan seminar TIAF kepada guru al-quran,ustaz abdul bari dengan harapan dia tidak ketinggalan menyertainya.

Walaupun beliau menunjukkan minat namun beliau tidak dapat menyertainya memandangkan perlu menjadi hakim tilawah al-quran di Bangkok. Wah.tahniah dan saya teruja mendengarnya walhal perkara tersebut satu kebiasaan bagi beliau. Apabila beliau bertanyakan saya berkenaan pengisian masa cuti, tiada apa yang mampu saya kemukakan melainkan 'duk sajo lagi setakat ini'.. waduh..malu sekali rasanya.

Beliau mencadangkan saya pergi mengaji @ mengulang hafalan dengan 'baba' di Rantau Panjang. Itu cadangan yang cukup bernas. Namun,masa yang ada tidak memungkinkan saya ke sana. Jika cuti masih berbaki sebulan dua, sure saya akan pergi.

Mengulas mengenai guru-guru alquran, pastinya bermula dengan ayah saya, Abdul Khalid bin Ahmad, syukur dengan izin Allah, melalui beliaulah lidah ini tidak pelat menyebut tiap patah kalimah Allah dalam kalamNya. Menangis, merajuk dan mendiamkan diri merupakan antara fi'il saya yang terpaksa dihadapi oleh beliau. Tidak ketinggalan ibu,samsiah mustafa yang turut di samping ayah mengajar tanpa jemu.

Ustaz Zakaria (guru tahfiz) pula merupakan insan yang banyak mendidik jiwa dan beliaulah guru alquran secara rasminya. Bersama teman-teman tahfiz seperti sy.nurfathiah,muslihah fadzil,rodziah basri, afiqah razali dan lain-lain lag, kami berjuang dalam bidang hafazan ini dengan harapan jika redha Allah disitu, biarlah kami sama-sama garapnya..

Ketika saya membuat keputusan untuk berulang-alik dari machang ke Kota Bharu, hati diselubungi hiba memandangkan keputusan ini menjerat saya. Sehari sebelum perpindahan saya dari asrama ke rumah, Persatuan Alquran dan tahfiz mengadakan sebuah majlis (saya tidak pasti bersempena dengan apa), majlis tersebut menjemput saya untuk ke pentas bagi memperdengarkan kalamuLlah.

Pada awalnya, suasana biasa sahaja, namun sampai di pertengahan surah yang saya bacakan, saya terhenti dan tidak dapat meneruskan bacaan. Saya menangis. haha. iya. saya menangis.tangisan kesedihan kerana terpaksa berhenti dari kelas tahfiz buat sementara waktu. fuh.tidak patut perkara ini berlaku.sepatutnya menangis kerana menghayati. Semua pelajar tergamam, saya cuba menahan tangisan dan berusaha meneruskan bacaan. AllahuAkbar. Hanya tuhan yang tahu betapa saya tidak mampu.

Setelah menamatkan bacaan. Saya turun dari pentas dan segera menutup wajah dan mendapatkan rakan-rakan seperjuangan. Seingat saya, di sebelah saya Syarifah NurFathiah. Beliau turut bersedih dan menyedari bahawa saya sedang murung sbelum naik ke pentas lagi.
Malam itu, saya tidak mampu melihat dan bercakap dengan guru al-quran. perasaan bersalah dan bersalah menghurung seluruh jiwa. Tapi saya kuatkan jua diri memberitahu beliau akan keptusan saya ini, beliau terdiam seketika kemudian mengatakan 'tidak apa, mugo duk asrama tak dey nak belajar,takpolah, belajar molek, jange tinggal quran, ada maso, mari lah kelas.'

Itulah sebenar-benar guru, yang memberi kesan kepada anak muridnya.. dan itulah guru al-quran yang saya kasihi, semoga Allah merahmati beliau serta ahli keluarga beliau. Seterusnya didoakan buat teman-teman tahfiz,moga kita sentiasa istiqomah dan ditunjukkan jalanNya yang terang lagi bersuluh. Menguasai bahasa arab boleh membantu kita dalam bidang ini. insyaAllah. sentiasalah memperbaharui hafalan dan ingatlah setiap detik usaha mu demi meninggikan kalamuLLah,jangan berhenti separuh jalan.. Ingatlah setiap pesanan guru kita dan semangat muroja'ah jangan bermusim.

''KEIZZAHAN AL-QURAN MENGIRINGI INTELEKTUAL ISLAM''

wassalamualaikum warahmatullah.

Penjara Guantanamo


Assalamualaikum warahmatullah,

Terbaca di utusan online bertarikh 14 Disember 2009. (Ehem.nampaknya saya ketinggalan) Kecewa sekali dengan respon Barrack Obama mengenai penutupan penjara Guantanamo yang katanya ditunda hingga ke tahun hadapan.

WASHINGTON 18 Nov. - Presiden Barack Obama hari ini berkata bahawa beliau percaya penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba boleh ditutup tahun depan, namun pada masa yang sama menyedari bahawa beliau tidak mampu melakukannya sejak menjadi Presiden Januari lalu.Obama berkata, beliau tidak kecewa dengan kegagalan berbuat demikian dalam tempoh setahun seperti yang dikatakannya sejak mengambil alih jawatan pada Januari lalu kerana menurutnya, “ Saya tahu ia akan menjadi sedikit sukar,”Beliau membuat komen itu di Beijing dalam satu temu bual yang akan disiarkan pada Rangkaian Berita Fox `Laporan Khas bersama Bret Baier’ Rabu depan.“Kami dalam proses di mana saya jangkakan Guantanamo akan ditutup pada tahun depan,” kata Obama, namun enggan memberitahu tarikh sebenar bila ia akan ditutup.Pentadbiran Obama mengalami kesulitan untuk menutup penjara tersebut kerana ramai di antara penggubal undang-undang agak keberatan untuk memindahkan penghuni penjara ke AS. - Reuters

Fuh. Sayu hati andai terbaca kisah penyiksaan yang ditanggung banduan-banduan yang kebanyakannya merupakan saudara islam kita. Mereka dianggap 'terrorist' walaupun hakikatnya mereka merupakan orang yang menyahut seruan jihad mempertahankan tanah air serta Islam. Sebenar-benar 'terrorist' ialah israel dan sekutunya yang tanpa segan silu merampas tanah milik rakyat Palestin,membina penempatan secara haram. Waduh-waduh, berani saja ye mereka ni!!

Tidak banyak perkara yang mampu saya ulas mengenai hal ini memandangkan kurang pengetahuan tentangnya. Pengetahuan yang ada hanyalah setebal kulit bawang merah yang tak perlu dikupas menggunakan pisau. Cukup dengan menggunakan tangan.

Apapun, usaha Obama itu sedikit sebanyak bolehlah dipuji kerana 'tidak sezalim 'George Bush' yang merupakan pendokong awal penjara Guantanamo yakni neraka dunia bagi umat Islam. Padanlah jika George Bush dilemparkan dengan kasut. Itulah yang selayaknya dia terima.
Slogan 'War on terror' hanyalah omongan kosong. Fuh. Saya cukup menyampah melihat wajahnya.
Bagi saya pembinaan penjara Guantanamo bukan lah untuk menempatkan terrorist sebaliknya tak ubah sebagai medan 'balas dendam' terhadap umat Islam. Seksaan yang dikenakan pula bukanlah kerana para banduan melawan kata, sebaliknya kerana kebencian dan kesumat yang teramat dalam terhadap Islam. Hanya kerana ''Islam'', saudara kita menerima pelbagai penyeksaan yang tertanggung badan. Mereka dipukul,dibogelkan,dipaksa dengan pelbagai paksaan yang dahsyat.

Pastinya Allah melihat dan mendengar keluhan saudara kita. Nantikanlah wahai penjahat dan pengganas yang menyeksa saudaraku!! tunggulah di akhirat nanti. Semua umat islam akan bangkit mendakwa kamu di mahkamah Allah!! Di saat itu, terbalaslah segala kejahatan mereka dengan neraka jahannam. dan terbalaslah segala kesabaran yang ditanggung saudara kita dengan syurga. insyaAllah.

Walaupun saya dengan penuh semangat manaip, hakikatnya saya tidak mampu membantu melepaskan seksaan mereka. Saya hanyalah pelajar sekolah. Hanya doa yang mampu diucap. Mudah-mudahan Allah membantu saudara kita yang benar-benar berjihad. Ya Allah, tabahkan hati mereka!

menarik juga disini

wassalamualaikum warahmatullah

Kerana lidahnya

Assalamualaikum warahmatullah.

Malam ini dihabiskan dengan menonton drama 'kerana lidahnya' di tv3 kalau tak silap. Ada menariknya drama tersebut. Dilakonkan oleh beberapa pelakon yang saya tidak pasti namanya apa. Tapi hebat dan memberi kesan. Menariknya kerana banyak elemen islamik diselitkan dalam drama. Malahan tajuknya juga sudah memberi gambaran.

Mengisahkan tentang seorang wanita,yang juga isteri kepada seorang muallaf serta ibu bagi seorang anak gadis. Wanita yang boleh saya label sebagai nusyuz terhadap si suami kerana lidahnya yang tak reti dijaga. Juga seorang pembawa cerita kosong @ fitnah dalam masyarakat sekelilingnya.

Kerana lidahnya yang tak bertulang, ada jirannya yang berkecil hati, malah ada juga yang memutuskan ikatan pertunangan semata-mata mendengar 'berita' yang dibawa si wanita tersebut. emm.. Si suami yang tidak tahan dengan perangai isterinya yang gila-gila tersebut bertindak menasihati dengan cara yang baik, namun bila dilihat tiada kesan, digunakan cara seterusnya yang digaris oleh Islam bagi mendidik isteri nusyuz yakni memisahkan tempat tidur.
Bila mana langkah tersebut yang dilakukan berminggu-minggu tidak memberi kesan, si suami bertindak memukul isterinya. Namun, bukan dengan pukulan yang menyakitkan dan tidak pada bahagian yang sensitif seperti muka.

Setelah itu, dia keluar dari rumah serta meninggalkan isterinya dalam tempoh waktu yang lama. Hal ini memberi kesan yang tinggi menyebabkan si isteri mula berfikir akan kesalahan yang pernah dilakukan dahulu. Berkat doa dan kuasa Allah, Allah mengkafarah si isteri dengan satu ujian yang mengakibatkan si isteri lumpuh dan tidak lagi mampu berbicara seperti sediakala.

Dengan perasaan ihsan dan kelembutan hati yang Allah letakkan dalam hati si suami, dia kembali menjenguk isterinya dan bersedia memaafkan segala perbuatan isteri tersebut. Allah itu Maha Pengasih, tidak sama sekali Allah membiarkan si suami terkontang-kanting berusaha tanpa ada hasil. Dengan kuasa Allah, dihadirkan dalam hati si isteri keinsafan dan sebenar-benar taubat. Maha Suci Allah, seterusnya, diberi pula kesembuhan terhadap penyakit lumpuh tersebut agar mereka sekeluarga dapat kembali menjalani kehidupan bahagia.

Firman Allah S.W.T : ''dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar'' (Al-Baqarah.235)

Wassalamualaikum warahmatullah

Friday, December 18, 2009

Result PMR 24 Disember ini

Assalamualaikum warahmatullah

dalam masa yang singkat ini diucapkan selamat berjaya dan didoakan semoga adik-adik PMR di mana-mana sekolah lebih-lebih lagi calon dari MSMP dan MMP berjaya. 9A itu pasti dapat digenggami. Wah, saya tumpang merasai debaran yang mereka alami. Semoga Allah memberi ketenangan dan penantian ini di sahut dengan kejayaan yang diidamkan. insyaAllah.

emm. bagaimana pula ye kami nanti? Fuh..

Nur Zulaikha bt Asmuii


Assalamualaikum warahmatullah.

Terasa satu perasaan halus yang mengganggu gugah jiwa di saat jari jemari menaipkan nama tersebut. Dialah sahabat, dialah teman, dan dialah dia. Moga-moga perwatakannya seindah Zulaikha, wanita bersejarah dalam sejarah Islam nabi terdahulu.

Lebih kurang pukul 10 pagi semalam, saya menerima mesej dari sahabat saya tersebut..
''Ku telah mlgkah kaki dr bumi serambi mekah, ku tggalkn memori indh bsmamu,kn ku
hrgailnya dgn seribu pnuh ksh syg,ku tmui drimu dlm doa klbuku,wlaupn ku bkn tbaik
utkmu,tp hrgailh driku wlaupn hnya smentara,ku mnyayangimu bkn krn kcntikn, ttpi ku
mmbelaimu dgn kjujurn dn keikhlasn, pe yg ku tggalkn jdkn lh ia pdoman, ne yg tbek
jdkn pnduan, ne yg kkhilafnku jd kn smpadan tnpa dliht kmbali, jge dri..ALLAH kn
bsamamu..ku tramat myayangimu krn Allah..insyaAllah''-Ika

Hati saya bagai disentak seketika. terkejut dengan berita drastik ini. Belum sempat saya menyalaminya, pada ingatan saya, beliau akan bertandang ke rumah saya pada hari tersebut. Namun apakan daya, mungkin beliau tidak ingin bertemu mata bagi mengelakkan suasana sayu.

Ketika di maahad syamsul maarif, saya mulai rapat dengannya. Entah kenapa, suka sekali berkawan dengannya. Antara kami sangat jarang berahsia. Justru, sedih, gembira, tawar manis kehidupan banyak saya belajar darinya. Dia baik pada saya, tp kadang-kadang ada juga pergaduhan antara kami. Hakikatnya, inilah yang menambah rasa dalam ukhuwah yg dibina.

Seingat saya, ketika saya mendapat tawaran ke maahad muhammadi, hampir sebulan saya menangis setiap kali bercakap di telefon. Sama ada dengan zulaikha ataupun sahabat msmp yg lain. Saya ingin mendapatkan pengalaman yg baru namun jauh di sudut hati, sukar sekali untuk meninggalkan rakan-rakan tercinta. Sampai lah suatu masa ada sahabat yg menasihati '' Lakukanlah pengorbanan yg kecil ini untuk suatu misi yang besar, jangan sedih, yang penting kita sama-sama ingin lihat Islam di kemuncak. Tempat berjuang je yang berbeza. Ada masa kita jumpa ye.''

Di situlah saya temui makna sebenar ''ukhuwah fillah'' yakni biar apapun yang berlaku, perpisahan tidak akan memisahkan hati yang sudah bertaut kerana matlamat hidup yang satu, yakni pencarian redha Allah dalam persahabatan.

Setiap masa saya sering mendoakan agar suatu masa nanti kami bertemu kembali di arena dakwah yang lebih besar. Di situ, segala asas yang dipelajari ketika di bangku sekolah akan dipraktikkan dengan sebenarnya. Saya banyak melibatkan diri dalam aktiviti kepimpinan ketika di MSMP, namun di MMP peluang itu sukar memandangkan di sana pelajarnya terlalu ramai.

Kepulangan zulaikha ke Kuala Lumpur menyebabkan saya hiba. Mungkin selepas ini sukar lagi bagi kami untuk bertemu mata. Dia nekad untuk menyambung kerjayanya sebagai penuntut ilmu di Kuala Lumpur. Sudah tentu dia lagi bersedih memandangkan 5 tahun menuntut di kelantan. Tidak apa,teruskan sahabatku,tabahkan dirimu!

Setiap hujung minggu, saya menjemput Zulaikha ke rumah. Masa yang dihabiskan banyak untuk kerja 'gila' kami yakni bergambar di laptop. Kemudian buat movie di windows movie maker. Kadang-kadang, kami belajar bersama. Thanks ika kerana melalui awaklah saya faham sangat-sangat tajuk transformation.

Jika ingin dicatatkan 'tentang dia', saya memerlukan tisu bagi mengelap air mata. Sedih sekali rasanya. Dia terlalu baik bagi saya, tp sejauh manakah saya menghargainya?. Oh tuhan..

Cukup setakat ini dahulu. Semoga dirimu (zulaikha) sentiasa dalam jagaan Allah,selamat dunia akhirat serta bahagia di mahsyar nanti. Lastly, saya mendoakan semua sahabat menggapai kejayaan mutlak di akhirat nanti. bersama kita teruskan perjuangan kecil ini..

Wassalamualaikum warahmatullah.

Pengisian cuti


Assalamualaikum warahmatuLlah.


Berbicara tentang pengisian cuti sekolah (walaupun tak lama sangat) sangat membosankan.

Entah kenapa, soalan ''nak buat gapo cuti-cuti nih?'' sangat menyeramkan dan jawapan yang saya acap kali keluarkan ialah ''tak tahu lagi''.

Maka nya, apa faedah mengeluarkan post yang bertajuk ''pengisian cuti sekolah'' jika diri sendiri pun tiada modal untuk di kongsi di blog ini.

Maafkan saya, inilah satu-satunya aktiviti yang mampu dilakukan setakat ini, yakni surf internet 24 jam selain membaca buku mastika dan suratkhabar. Cuti ini sangat membosankan. 25 Disember ini barulah bermula aktiviti. InsyaAllah kami sekeluarga akan ke Kedah untuk majlis kesyukuran perkahwinan kakak saya, Nur Ainina. Seterusnya, jika ada peluang dan jalan mudah, saya akan ke Kuala Lumpur menziarahi abang2 di sana.
Lesen kereta? Aduh. itu impian saya. Tapi apakan daya. Mungkin belum masanya lagi tahun ini.
Ada sahabat yang mencadangkan agar cuti ini dimanfaatkan untuk mempelancar al-quran. Yakni juzuk-juzuk yang telah dihafal. InsyaAllah. Itu merupakan tanggungjawab bukan aktiviti musim cuti. Apapun, terima kasih kerana mengingatkan.
'
'CUTI INI PASTI AKAN DIMANFAATKAN !''
Wassalamualaikum.

Thursday, December 17, 2009

Majlis Jamuan dan perpisahan 5 SC 2.

Assalamualaikum warahmatullah.

Syukur ke hadrat Allah kerana memudahkan jalan kerja ini..bertempat di New Horizon Garden,Kota

Bharu pada 17 Disember 2009 bertemakan warna merah-

pink. Kehadiran sangat memberansangkan. Kalau tidak silap saya, hanya seorang yang tidak

hadir dalam kalangan pelajar 5 sc 2. Siti nurasyida bt junoh.

Mungkin ada peluang untuk berkumpul kembali selain pertemuan ketika mengambil result exam.

Apapun, kenangan mengemudi bahtera bersama mereka sepanjang tahun merupakan kenangan

yang sangat bermakna. Konklusinya, didoakan bagi semua sahabat mudah-mudahan kita semua

menempa kejayaan dan mampu melihat hasil natijah dari kesungguhan berusaha bersama

sepanjang tahun 2009 di bumi maahad. Ada masa saya akan upload beberapa gambar ketika

jamuan tersebut.

wassalamualaikum warahmatullah

Buat kesekian kalinya

Assalamualaikum warahmatullah.

Buat kesekian kalinya saya membina blog sendiri. Di tingkatan 4 dahulu, pernah sekali saya cuba membina blog.
Namun, komitemen yang diberikan sangat kurang, maklumlah tumpuan pada pelajaran. Apatah lagi perlu mengejar semua subjek yakni subjek agama dan akademik.

Tamat periksaan Sijil Pengajian Malaysia (SPM) pada 16 Disember baru-baru ini, cukup memberi kesan yang tinggi bagi saya.
Kesukaran berhempas-pulas dalam masa hampir sebulan menghadapi exam yang sangat memberatkan kepala kini terlerai.

Syukur pada Mu ya Allah.

Buat kesekian kalinya,

Saya meletakkan harapan penuh pada diri sendiri, agar memberi komitmen terhadap blog ini.
Sejujurnya, saya lebih cenderung kepada uslub santai dan ilmiah.
Nilai ilmiah dalam penulisan blog ini bergantung kepada tahap pengetahuan yang ada. InsyaAllah, semakin lama saya akan berusaha menuntut ilmu sterusnya dikongsi di blog ini.

Mudah-mudahan ianya bermanfaat bagi saya dan sesiapa sahaja, di dunia dan akhirat.

insyaAllah.

wassalamualaikum warahmatullah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...